Pages

Lagu


Sunday, February 23, 2014

Dia insan teristimewa buatku..

Dia insan istimewa dalam hidup aku. Dikala aku ditimpa musibah,dia lah yang membakar semangat untuk terus cekal dan tabah.
Dikala aku dihimpit masalah,dia lah insan yang tampil merungkai idea permasalahan.
Dikala aku memerlukan motivasi,dia lah insan yang tidak putus meningkat motivasi diri ini.
Dikala jiwa merundum kesedihan,dia lah insan yang berjaya ‘membaca’ isi hati ini.
Mama,engkau lah insan teristimewa dalam hidup ini.

Tanggal 23 Februari 2014 merupakan ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-51. Sama usia dengan ayahku. ‘Mama’ adalah panggilan yang kami sekeluarga gunapakai bagi kata ganti seorang ibu. Mama walaupun punyai seribu kelemahan namun masih punyai satu juta kelebihan.

Tiada apa yang mahu saya kisahkan mama kepada pembaca kerana setiap ibu semestinya punyai kisah yang indah bagi setiap anaknya. Saya tetap bersyukur atas kurniaan Allah seorang ibu ini kepada kami.

Pernah suatu ketika bulan Ramadhan tahun lepas mama diuji hebat oleh Allah. Sepanjang ramadhan lepas,mama menjalani pembedahan pembuangan ‘apendix’ dan juga pembuangan ‘rahim’. Dan selama lebih kurang 20 hari mama terlantar di atas katil hospital di Kuala Terengganu.

Kisahnya bermula apabila mama mengadu sakit perut dan muntah-muntah beberapa kali ketika sedang bekerja di pejabat. Kebetulan ketika itu saya berada di rumah cuti semester. Di awal pagi sekitar jam 9,mama kol saya katanya mahu ke klinik untuk buat pemeriksaan perut. Wajah mama ketika itu begitu pucat namun dirinya tenang,buatkan saya resah seketika. Setelah mendapat nasihat doktor,mama ambil cuti dari bekerja. Di rumah,mama rehat sepanjang hari namun tanpa disangka selepas solat asar,mama mengadu sakit di perut sekali lagi. Ayah membawa mama ke klinik namun atas nasihat doctor,mama perlu masuk wad dan terus dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.Kami di rumah terlopong dengan berita ini. Dalam fikiran saya,sudah tentu penyakit mama ini serius.Jika tidak,mana mungkin perlu dimasukkan ke hospital.

Mama berada dalam jagaan jururawat dan selang beberapa hari,mama diberitakan mengalami masalah appendix dan perlu menjalani pembedahan tersebut dalam masa terdekat. Tanpa mama di rumah,kerja-kerja di rumah kami(adik-beradik) yang ambil alih menggantikan mama dan ayah. Ayah menjadi peneman setia di sisi mama sehinggakan hampir satu minggu ayah mohon cuti kerja.

Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Pernah satu perkataan yang terbit dalam fikiran saya iaitu ‘maut’. AllahuAkbar. Hampir 5-6 jam mama jalani proses bedah. Doktor kata,mama alami 2 pembedahan iaitu pembuangan appendix dan juga rahim. Ini berikutan jika rahim tidak dibuang,nanah akan singgah kat situ dan boleh sebabkan kanser rahim. Mama tenang hadapinya,kami tawakkal dan redha sepenuhnya. Syukur Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Hebat ujian mama di bulan Ramadhan.Mama berpantang lebih kurang 2 bulan lebih. Sepanjang masa itu,kami lah yang ‘mengharmonikan’ aktiviti keluarga ini. Saya masih ingat,ayah yang susah buat kerja di dapur seperti memasak,ketika itu menjadi sangat rajin. Kami sekeluarga sangat erat ketika itu.pelbagai ragam apabila lelaki masuk ke dapur. Haha.

Saya mendapat nasihat beberapa rakan perempuan tentang keadaan mama yang seperti itu. Kata mereka,mama perlu dijaga dengan baik. Terutama dari sudut mental,perasaan dan lain-lain. Semestinya perasaan mama sedikit berubah dan terjejas atas faktor pembuangan asset penting wanita tersebut. Ya,saya sudah melihat kesannya pada mama sepanjang berada di sisi mengurus kerja buat mama ketika sakit. Dengan sedayanya kami akan menjaga mental dan fizikal mama. Sepanjang ayah bekerja,kami lah yang mengurus hal ehwal keluarga termasuk makan minum mama.

Sepanjang mama sakit,setiap saat jika berjauhan dengan mama,saya akan rasa risau. Yelah,risau jika apa berlaku pada mama. Berkat di bulan Ramadhan,tidak putus doakan moga mama dipelihara Allah dan sembuh dengan baik. Jika kami tidak mampu menjaga mama,moga Allah tetap menjaganya.

Setiap hari mama tidak putus menerima kunjungan pelbagai pihak datang ziarah. Bekalan nasihat dan motivasi diberikan. Tidak lupa juga kepada semua kenalan yang sentiasa mendoakan keadaan mama walau jauh di mata. Terima kasih semua. Saya tetap hargainya.
Saya pernah terbayang adakah ini ramadhan terakhir kami bersama mama?? AllahuAkbar. Kami redha apa yang berlaku dan akan berlaku pada mama. Alhamdulillah sampai hari ini saya masih mampu mendengar suara mama,melihat senyuman mama.

Kepulangan saya ke Kuala Lumpur menyambung sesi pengajian di IPT dikejutkan dengan satu getaran mesej yang masuk ke henfon.

“…terima kasih menjaga mama selama mama sakit.Mama rindu kamu…”

Air mata saya yang beku penuh dengan dosa ini tidak semena-mena mudah mengalir air mata tika itu. AllahuAkbar…

Mungkin tidak cukup dengan kata-kata jika tidak dibuktikan dengan tindakan.Apa-apa pun..

Love You So Much mama….
bersama ayah ketika raya tahun lepas..
Mama insan teristimewa.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails