Usul 'Isyrin (20) dinukilkan oleh Imam Asy-syahid Hassan Al-Banna, merupakan
antara panduan dan pemudahcara bagi memahami konsep dalam menyusuri kehidupan
sebagai Muslim yang syumul.
1. Islam adalah agama yang
menyeluruh dan lengkap.
Islam
adalah satu sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah
negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan
keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan
harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah,
sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah.
2. Al-Quran dan As-Sunnah adalah
rujukan asas dalam perundangan Islam.
Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah
SAW merupakan sumber rujukan bagi setiap muslim dalam memahami hukum-hukum
Islam. Al-Quran hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah Bahasa Arab tanpa
memberat-beratkan dan tidak pula membabi buta. Sunnah pula difahami melalui
periwayat-periwayat Hadith yang thiqah
3. Iman sejati, ibadah yang sah dan
perjuangan mempunyai cahaya dan kemanisan didalam hati. Ilham, lintasan hati,
mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum Agama.
Iman yang benar, ibadah yang sah dan
mujahadah merupakan cahaya dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam
hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham,
lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syara’. Ia
tidak diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas
agama.
4. Tangkal, jampi selain ayat
Al-Quran dan Hadis serta mendakwa tahu hal ghaib (yang belum berlaku) adalah
munkar yang wajib dibenteras.
Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu
yang diambil dari laut seperti kulit kerang untuk menghindarkan sakit mata),
al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal untuk mencari
barang kecurian, tempat orang sesat dsb), kihanah (pemberitahuan tentang
perkara-perkara ghaib pada masa akan datang atau perkara yang tersembunyi di
dalam hati orang lain) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara
yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib
diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang ma’thurah
(datang dari Rasulullah SAW).
5. Keputusan pimpinan dalam
organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahat,yang tiada nas atau ada
nas tetapi mempunyai berbagai tafsiran.
Pendapat Imam atau Naibnya dalam
perkara-perkara yang tidak ada nas, yang boleh menerima andaian pelbagai segi
dan yang berhubung dengan masalih al-mursalah boleh diterima sekiranya tidak
bertentangan dengan kaedah-kaedah syara’. Kadang-kadang ia berubah menurut
keadaan, uruf dan adat. Asal pada ibadat ialah ta’abbud tanpa melihat kepada
makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmah dan tujuan.
6.
Kata-kata seseorang selain Rasulullah saw tidak semestinya betul dan diterima.
Setiap orang boleh diterima dan
ditolak kata-katanya melainkan Rasulullah SAW yang maksum. Setiap yang datang
dari salafus soleh yang bertepatan dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya kita
terima dengan sebulat hati. Akan tetapi jika berlawanan dengannya maka Kitab
Allah dan Sunnah RasulNya lebih utama diikuti. Walau bagaimanapun kita tidak
sekali-kali mengecam atau mendedahkan keburukan peribadi-peribadi tertentu di
dalam masalah yang diperselisihkan. Kita hanya berserah kepada niat hati
mereka. Sesungguhnya mereka berlalu dengan apa yang mereka lakukan.
7. Seorang yang belum pakar dalam
Feqah, ikutlah salah satu dari 4 Mazhab tanpa taksub. Terimalah pandangan
mazhab lain jika dalilnya lebih kuat.
Setiap muslim yang tidak sampai ke
peringkat meneliti (nadzar) dalil-dalil hukum cabang (furu’) boleh mengikuti
mana-mana Imam. Elok sekiranya seseorang itu cuba berijtihad sekadar yang
beliau mampu bagi mengetahui dalil-dalilnya. Beliau juga hendaklah menerima
setiap petunjuk yang disertai dengan dalil apabila beliau yakin dengan kebaikan
dan kepada orang yang memberi petunjuk kepadanya. Jika sekiranya beliau terdiri
dari kalangan orang yang berilmu, beliau hendaklah mencukupkan kekurangannya
dari segi ilmu sehingga sampai ke peringkat meneliti dalil-dalil hukum.
8. Perbezaan dalam Feqah jangan
membawa kepada perpecahan hati.
Perselisihan fiqh dalam perkara
cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak
seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang
berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi
melakukan tahqiq ilmu / penjelasan ilmiah dalam masalah-masalah yang
diperselisihkan dalam suasana kasih saying kerana Allah SWT. Serta kerjasama
dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela
serta taksub.
9. Jauhi perdebatan Feqah yang tidak
membawa kepada tindakan amali.
Setiap masalah yang tidak berdiri
amal di atasnya maka melibatkan diri di dalamnya adalah membebankan diri dengan
perkara yang ditegah syara’. Di antaranya ialah banyak furu’ di dalam hukum
hakam yang tidak berlaku, melibatkan diri di dalam makna-makna ayat Al-Quran
yang ilmu belum sampai kepadanya dan bercakap tentang kelebihan di antara
sahabat R.A. dan khilaf yang berlaku di kalangan mereka. Setiap mereka
mempunyai kelebihan bersahabat dengan Rasulullah SAW dan dibalas menurut niat
mereka, tambahan pula takwil adalah dibenarkan.
10. Kita beriman kepada Ayat-ayat
Sifat tanpa menafsir atau menolaknya.
Mengenal Allah SWT, mentauhid dan
menyucikanNya adalah setinggi-tinggi aqidah Islam. Ayat-ayat sifat dan
hadith-hadithnya yang sahih serta penyerupaaan yang layak denganNya, kita
beriman dengannya sebagaimana ia datang tanpa takwil dan ta’thil. Kita jangan
cuba mendedahkan khilaf di antara ulama’ di dalam masalah itu. Sudah cukup bagi
kita apa yang telah cukup bagi Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.
11. Semua Bid’ah yang tiada asas
Syarak adalah munkar yang wajib dibenteras.
Setiap bid’ah dalam agama Allah adalah
tidak mempunyai asas sama sekali yang dipandang baik oleh manusia hanyalah
menurut hawa nafsu mereka, sama ada dengan cara menambah atau mengurangkannya
adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang paling
baik sehingga tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk dari bid’ah itu
sendiri.
12. Bid’ah Idafiah, Bid’ah Tarkiah,
Bid’ah Iltizamiah adalah khilaf ulamak.
Bid’ah dengan cara menambah,
meninggalkan dan beriltizam dengan sejenis ibadat mutlak adalah masalah
khilafiyah. Setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri dan tidak mengapa
mencari hakikat berdasarkan dalil dan bukti.
13. Keramat boleh berlaku pada
Wali-wali Allah, namun mereka tidak boleh memberi manfaat atau mudharat kepada
diri mereka, apatah lagi kepada orang lain.
Mencintai orang-orang yang saleh,
menghormati dan memberi pujian terhadap amalan-amalan baik yang mereka lakukan
adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wali-wali Allah ialah
mereka yang disebut oleh Allah di dalam Al-Qur'an iaitu orang-orang yang
beriman dan bertaqwa. Karamah yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi
dengan syarat-syarat yang bertepatan dengan dengan syara’ serta mempercayai
bahawa mereka adalah hamba yang diredhai oleh Allah SWT. Mereka tidak mampu
untuk memberi manfaat atau mendatangkan mudharat ketika hidup atau pun setelah
mereka mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurniaan yang ada pada mereka
itu kepada orang lain.
14. Ziarah kubur adalah sunnah
Rasulullah saw. Jangan dicampur dengan Bid’ah.
Menziarahi kubur dalam apa keadaan
sekali pun adalah perkara sunat yang disyariatkan dengan cara-cara yang
ma’thur. Tetapi meminta pertolongan dari ahli-ahli kubur siapa sekali pun
mereka, menyeru mereka kerana perkara tersebut, menuntut mereka menunaikan
segala hajat sama ada dari dekat atau jauh, bernazar kepada mereka,
membangunkan binaan di atas kubur, menyelimutinya, meneranginya,
mengusap-ngusapnya, bersumpah dengan sesuatu selain Allah dan seumpamanya yang
terdiri daripada perkara-perkara bid’ah adalah dosa-dosa besar yang wajib
diperangi. Kita tidak mentakwilkan amalan-amalan ini dengan tujuan menutup
jalan kemungkaran.
15. Tawassul dalam berdoa adalah
khilaf ulamak dan bukan dalam masalah Aqidah.
Berdoa apabila dibuat dengan cara
bertawasul kepada Allah dengan salah satu makhluk-makhlukNya, merupakan
perselisihan kepada masalah furu’ (cabang) di dalam kaifiat (cara-cara) berdoa,
dan bukannya permasalahan aqidah.
16.
Dalam mengeluarkan hukum, Syarak merujuk kepada intipati sesuatu perkara dan
bukan nama yang dipakai orang ramai. Contoh “Faedah Bank”.
Uruf yang salah tidak mengubah
hakikat lafaz-lafaz syariat. Malah wajib dipastikan batas-batas pengertian yang
dimaksudkan dari lafaz-lafaz itu, dan tidak melewati pengertian-pengertian yang
dimaksudkan itu. Begitu juga mestilah diawasi sebarang lafaz-lafaz yang sengaja
dikemukakan dengan tujuan tipu helah di dalam perkara-perkara yang bersangkutan
dengan urusan dunia dan agama. Yang diambil kira ialah sesuatu yang dinamakan,
bukan nama yang diberikan”.
17. Amal hati lebih utama dari amal
anggota. Kedua-duanya penting.
Aqidah merupakan asas setiap amalan.
Amalan hati lebih penting dari amalan anggota badan. Mencari kesempurnaan pada
kedua-duanya adalah dituntut oleh syara’ walaupun darjat tuntutan pada
kedua-duanya berbeza.
18. Islam mengangkat peranan akal
manusia.
Islam membebaskan aqal. Menggalakkan
supaya memerhatikan alam semesta, mengangkat kedudukan ilmu dan ulama’,
mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Al-Hikmah adalah barang yang
hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapati maka dia adalah orang yang
paling berhak terhadapnya.
19. Tiada pertembungan diantara
Syarak dan ilmu Sains yang sahih.
Boleh jadi perkara yang diteliti
oleh pandangan syara’ tidak termasuk ke dalam perkara yang diteliti oleh
pandangan aqal, begitu juga sebaliknya. Sungguh pun demikian, pandangan syara’
dan pandangan aqal tidak bercanggah dalam perkara-perkara yang qath’i (muktamad
dan putus). Hakikat ilmiah yang sahih tidak bertentangan dengan kaedah syara’
yang tsabit. Perkara dzanni, dari kedua-duanya ditakwilkan, agar bersesuaian
dengan qath’i. Sekiranya pandangan syara’ dan pandangan aqal masih berada di
peringkat dzann, maka pandangan syara’lah yang lebih utama untuk diterima.
Hinggalah pandangan aqal dapat mentsabitkan kebenarannya atau ia akan gugur
dengan sendirinya.
20.
Kita tidak mengkafirkan orang Islam melainkan dengan syarat-syarat yang ketat.
Kita tidak mengkafirkan seorang
Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan
tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kawajipan-kewajipannya dengan hanya
berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika
beliau:
• Mengakui kalimah kufur
• Mengengkari perkara agama yang
diketahui secara dharuri
• Mendustakan ayat Al-Quran yang
jelas pengertiannya.
• Menafsirkan Al-Quran dengan
penafsiran yang tidak diterima oleh semua uslub Bahasa Arab dalam semua
keadaan.
• Melakukan sesuatu yang tidak boleh
ditafsirkan selain dari kufur.
No comments:
Post a Comment