Rasulullah bersabda lebih kurang
maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud
dengan dunia”.
Hadis ini menerangkan kepada kita
bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia
ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur
kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya
itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang
menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.
Zuhud itu letaknya di hati.
Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan
sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya
digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak
terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia.
Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.
Diceritakan bahawa pernah Sayyidina
Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian.
Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya
walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah
niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar.
Ditanya kepada Hasan Basri, “apakah
yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara
spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan
untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau.
Pengajaran daripada kisah ini
dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia.
Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang
kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di
dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia
akan terselamat.
Tuhan ada berfirman, “Tidak ada
dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) .
Hati manusia ini kalaulah tanpa
zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu
menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika
hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia
itu.
Benarlah sabda Nabi tentang dunia
ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.”
Daripada
cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan
sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga
merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini
adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini.
Selagi penyakit cinta dunia
ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus
berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia
yang bersarang cinta dunianya.
Lagi, bila kita kaji dan teliti
hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah
tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati,
maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi.
Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan
daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan
menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan
kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan
peranan Tuhan dalam kehidupan.
Disebut tadi, zuhud itu mengambil
dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya.
Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena
benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena
benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan
kepada orang yang susah.
Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan,
barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah,
maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah
nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.
Moga-moga tulisan ini dapat sedikit membantu
kita untuk memahami tentang zuhud. Sekian.Tq
Salam,, Syukran atas perkongsiannya.. Moga setiap drpd kita memasang cita2 @ hadaf utk mencapai zuhud...
ReplyDeleteassalamualaikum..
ReplyDeletezuhud..sukar digapai..
cita-cita yang selalu terhalang oleh cara hidup yang selalu terpesong..
yang berpesan-pesan dengan kebnaran juga dengan kesabaran sedikit cuma..
hadirkanlah sifat zuhud dalam hati kami ya Allah..