Rasulullah sollallahu `alaihi
wasallam telah berpesan kepada kita betapa mustajab doa seorang ibu untuk
anaknya. Dalam Sahih Muslim, kisah seorang lelaki, Juraij, yang begitu kuat
beribadah kepada Allah. Hari-harinya diisi dengan solat sunat. Beliau mempunyai
tempat khas untuk solat - pondok kecil yang agak tinggi tempatnya.
Pada suatu hari, ibunya datang
menziarahinya. Sambil mendongakkan kepalanya, si ibu memanggil anaknya:
"Juraij, saya ibumu, cakaplah denganku!"
Juraij khusyuk beribadah dan berkata
dalam hatinya: "Ya Allah, saya utamakan solatku atau ibuku?"
Juraij memilih meneruskan ibadahnya.
Ibunya letih berteriak dan akhirnya meninggalkan tempat Juraij.
Esoknya ibunya datang dan
memanggilnya lagi tetapi Juraij tidak mengendahkan dan terus beribadah.
Ibunya pulang ke rumah dengan rasa
hampa dan marah dalam hatinya. Semasa itulah wanita itu berdoa: "Ya
Allah, Juraij itu adalah anakkku, aku mahu bercakap dengannya tapi dia menolak
bercakap denganku. Ya Allah, jangan engkau matikan dia kecuali Engkau tunjukkan
padanya akan pelacur."
Ada pengembala kambing yang sentiasa
menggembala kambingnya di sekitar pondok Juraij. Gembala kambing itu
terserempak dengan 'bunga desa' yang cantik. Mereka berasmara sehingga wanita
itu hamil dan akhirnya melahirkan anak. Namun gembala itu menghilang.
Semasa ditanya orang kampung, anak
siapakah itu, wanita ini sekadar menuding ke arah pondok Juraij. Orang-orang
kampung beramai-ramai mendatangi Juraij dan memanggilnya dengan marah. Juraij
keluar kehairanan. Mereka menuduhnya berzina sehingga wanita itu melahirkan
bayinya. Juraij bertanya: "Di mana bayi itu"
Maka mereka membawa bayi itu
menghadapnya. Juraij berkata: "Tinggalkan aku untuk solat dan
berdoa."
Sesudah itu, Juraij menepuk perut
bayi dan bertanya: "Wahai bayi, siapakah bapamu?"
Dengan izin Allah, bayi itu menjawab:
"Bapaku ialah gembala kambing di kampung ini."
Penduduk kampung terkejut dan malu
kerana merobohkan pondok Juraij dek tertipu oleh wanita itu. Mereka berjanji
akan membangunkan pondoknya dengan emas dan perak, namun Juraij menolak dan
meminta pondok seperti asalnya.
Rasulullah menyatakan kisah Juraij
menunjukkan betapa kuat doa seorang ibu, apatah lagi yang disakiti anaknya.
Banyak iktibar daripada kisah
Juraij.
-Kewajiban anak memenuhi
panggilan ibu lebih utama dibandingkan menyempurkan ibadah sunat. Dengan hadith
ini, dihukumkan menurut fiqah bahawa memenuhi panggilan ibu adalah wajib
berbanding meneruskan solat sunat.
-Doa ibu sangat mustajab - sama ada
maksud baik atau tidak. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dan usah ikut
perasaan.
-Ibu harus sentiasa memantau
dan mengambil tahu akan keadaan kehidupan anak-anaknya agar tidak terjadi salah
faham antara kedua-duanya.
-Ibu harus sentiasa mendoakan
kebaikan untuk anak-anaknya, terlebih lagi pada waktu solat dinihari.
-Ibu harus sentiasamenjaga mulutnya
dan usah mudah tersinggung - maafkanlah dan nasihatkan serta sentiasa berdoa
untuk anaknya.
-Sebagai pengasuh, ibu perlu
dilengkapi ilmu demi memupuk anak yang soleh.
Seorang alim besar, Syeikh Sya`roni
Ahmadi Al-Qudsy berkata: "Doa ibu adalah seperti jelmaan malaikat,
bahkan ibu adalah seperti jelmaan malaikat yang nampak. Ertinya, hati-hatilah
dengan doa ibumu kerana doanya begitu cepat dikabulkan oleh Allah subhanahu wa
ta`ala."
Para ibu sekalian, berdoalah
sentiasa akan kebaikan anak-anak anda di dunia dan akhirat.
Ibu
ReplyDelete