Semasa pemerintahan Umar al-Khattab, empayar
Islam telah berkembang pesat bukan setakat Semenanjung Arab. Wilayah Rom dan Parsi
juga telah dapat dibebaskan dari kezaliman pemerintah mereka kepada keadilan
dan keamanan yang dibawa oleh pemerintahan Islam.
Kisah ini berlaku di Mesir, ketika itu Umar
melantik seorang pahlawan Islam yang gagah perkasa iaitu Amru al-As sebagai Gabenor
Mesir. Penduduk Mesir ketika itu baru sahaja menganut agama Islam, dan penduduk
asalnya berbangsa Qibti. Sesetengah mereka menganut agama Islam dan sesetengah
dari mereka masih dengan agama asal nenek-moyang mereka. Oleh kerana tiada
paksaan dalam Islam, mereka bebas sama ada mahu menerima Islam atau tidak.
Semasa Amru al-As menjadi Gabenor Mesir, satu
peristiwa ganjil dan aneh berlaku. Sungai Nil yang menjadi nadi kehidupan
masyarakat kelihatan mulai surut dan tidak melimpah-limpah seperti biasa. Peristiwa
ini amat mencemaskan penduduk Mesir.
Sebelum memeluk Islam, sebahagian besar orang
Mesir adalah penyembah matahari. Di antara adat mereka semasa jahiliyyah ialah
mengorbankan seorang anak dara pada waktu-waktu tertentu sebagai persembahan
kepada Dewa Sungai Nil supaya air sungai Nil sentiasa mengalir.
Dalam keadaan cemas, penduduk berjumpa dengan
Gabenor Mesir dan mendesak Amru al-As supaya melakukan adat jahiliyyah tersebut
bagi mengatasi masalah sungai Nil ini. Walaupun mereka telah memeluk Islam,
masih tertanam kepercayaan jahiliyyah yang telah diamalkan turun-temurun. Amru
al-As keberatan menunaikan permintaan mereka kerana adat ini adalah khurafat
dan syirik kerana menyembah selain dari Allah SWT. Dia ingin bertanya kepada
Umar dan meminta penduduk menagguhkan permintaan itu kerana dia mahu memuaskan
hati penduduk Mesir.
Amru menulis sepucuk surat kepada Umar dan
menceritakan dengan jelas masalah yang dihadapinya. Dia berharap agar Umar
dapat memberikan pandangan bagi menyelesaikan masalah tersebut demi kepentingan
rakyat. Apabila Umar menerima surat tersebut, air mukanya berubah kerana marah
dengan sikap penduduk Mesir.
“Adat ini terang sekali syirik hukumnya, sudah
jelas ia bertentangan dengan ajaran agama kita. Bukankah Allah yang sebenarnya
patut disembah kerana Dialah Yang Maha Kuasa, Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Demi Allah, aku tidak sekali akan membenarkan penduduk Mesir melakuakan adat
yang kejam dan bodoh ini,” katanya
dengan marah.
Setelah itu, Umar mengambil sehelai kertas dan
menulis sepucuk surat sebagai balasan kepada Amru. Beberapa hari kemudian surat
tersebut pun sampai. Ketika itu sungai Nil semakin surut dan mulai kering,
manakala penduduk bertambah gelisah dan cemas.
Amru sangat gembira lalu membuka surat dari
khalifah, alangkah terkejutnya beliau kerana surat itu bukan ditujukan
kepadanya sebaliknya kepada sungai Nil. Setelah membacanya, Amru terus
mencampakkan surat itu ke dalam sungai Nil. Dengan kuasa Allah, setelah surat
itu jatuh ke dalam sungai Nil dalam sekelip mata air Sungai Nil mulai naik dan
akhirnya melimpah-ruah ke kawasan tanah disekelilingnya. Kejadian yang aneh ini
disaksikan sendiri oleh penduduk Mesir. Semenjak hari itu iman mereka mula
teguh dan mereka tidak mengamalkan adat jahiliyyah tersebut.
Surat Umar al-Khattab itu berbunyi antara lain
maksudnya “Surat ini dikirimkan oleh Umar, Amirul Mukminin kepada Sungai
Nil, kalaulah air yang mengalir pada tubuhmu itu bukan dari kuasa Allah maka
kami tidak sekali memerlukan engkau! Tetapi kami percaya Allah itu Maha Kuasa
dan kepada-Nyalah kami bermohon supaya engkau mengalir seperti sediakala.”
MashaAllah.
kisah yg menarik sbb tak pernah dgr kisah ni sblm ini
ReplyDeletena'am..ni kisah famous yg menjadi tauladan dlm sejarah pemerintahan saidina umar
ReplyDelete