أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia
Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Memang,
rasa lemah atau down itu kadangkala menyapa diri.
Ujian-ujian
yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Kadangkala, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat
kita hilang arah.
Jika
kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun,
kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya
dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran
harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan
buat kita bangkit kembali? Bagaimana kita menghadapinya?
Saya
percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding
diri sendiri yang menghadapinya.
Benar.
Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam keadaan itu. Di
kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga
ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita
ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.
Harapan
Untuk Bangkit
Maka
di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada
kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr. Seringkali,
kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.
Namun
bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri,
bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk
kita memotivasikan diri sendiri?
Ok.
Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti
mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah
dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.Ya, Bersangka baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan
sia-sia. Pasti terdapat hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.
“Diwajibkan atas kamu berperang,
padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci
sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai
sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak
mengetahui.” – [Surah Al-Baqarah, 2: 216]
Kemudian,
sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar.Kerana sesungguhnya,
Allah itu berserta dengan mereka yang sabar. Dan kelak, kesabaran itu pasti
akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kita merenung kembali
hikmah yang Dia susunkan itu, sambil tersenyum.
Kesilapan
kita. Ada masa kita silap. Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat,
bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan. Kita rasakan
bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang
datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.
Tidak.
Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari. Namun, kita sering
lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan
kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa
sebarang bantuan?
“Allah hendak memberikan keringanan
kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.” – [Surah An-Nisa', 4:
32]
Ya.
Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia
memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah
ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan
jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun,
silapnya pada kita. Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon
pertolonganNya. Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat,
berkuasa. Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak
mengizinkannya.
Muhasabah
Diri
Manusia
jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat
barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama
ini. Itupun jikalau mereka sedar.
Maka,
salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah. Masa
untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.
Adakah
kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah
dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah
yang lain dari ujian tadi. Baik, Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada
kita melaluinya?
Manusia
itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji
dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya.
Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang
ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat.
Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya,
dia berdo’a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi
setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat),
seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya
yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang
melampaui batas apa yang mereka kerjakan.” – [Surah Yunus, 10: 12]
Maka,
di situ ada hikmah untuk sama-sama kita renungkan.
Bersangka
baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita. Dia mahu kita kembali
kepadaNya. Dia mahu kita selamat di ‘sana’. Dia mahu kita merenung sebentar dan
bermuhasabah kembali. Sekarang, jawablah dengan hati kita. . .
Yakinlah
Janji Allah Itu Benar
Manusia
itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah
sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia
kembali kepada Allah, satu-satunya ‘Illah’ (Tuhan) seluruh semesta. Setelah
kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi
pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar
sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang
manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa.
Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.
Nabi
Muhamad juga merasa sedih dengan pemergian Siti Khadijah, tetapi baginda tidak
memanjangkan kesedihan itu.
Ya.
Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan
diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita. Dan pasti, Dia tidak menciptakan
sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya. Jika kita sudah sedar akan perkara
ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang
ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
” … Barangsiapa bertaqwa kepada
Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya
rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal
kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah
melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap
sesuatu.” – [Surah At-Talaq, 65: 2-3]