Pages

Lagu

Friday, November 28, 2014

Kalam Imam Shafie




Wajib dan Lebih Wajib, Pelik dan Lebih Pelik, Susah dan Lebih Susah, Dekat dan Lebih Dekat.

Pernah ditanya kepada Imam Asy-Syafie rahimahullah;


Wahai Imam, tunjukkanlah kepada kami perkara yang Wajib dan Lebih Wajib, Pelik dan Lebih Pelik, Susah dan Lebih Susah, Dekat dan Lebih Dekat.


Lalu Imam Asy-Syafie pun menjawab :
  • WAJIB ke atas manusia untuk bertaubat, tetapi meninggalkan dosa itu sebenarnya adalah LEBIH WAJIB.
  •  Masa itu pada menguruskannya adalah PELIK, namun kelalaian manusia dalam memanfaatkannya adalah LEBIH PELIK.
  • Untuk bersabar ketika berhadapan dengan ujian itu adalah SUSAH, tetapi kehilangan pahala ketika berhadapan dengan ujian itu adalah LEBIH SUSAH.
  • Setiap perkara yang menjadi cita-cita itu adalah DEKAT, namun kematian sebelum mendapatkan cita-cita tersebut adalah LEBIH DEKAT.



Friday, August 15, 2014

Sampai hajat.

Sejak tahun lepas,saya berhajat ingin menziarahi ustaz/ustazah yang mengajar saya di Universiti Malaya Nilampuri,Kelantan. Tahun lepas,hajat saya terbantut berikutan keadaan mama saya yang terlantar sakit sejak awal Ramadhan. Masa saya banyak dihabiskan bersama mama bagi memastikan mama sentiasa dalam kawalan & jagaan baik.

Kemudian,perancangan saya untuk ke Kelantan ditetapkan pada raya AidilAdha tahun lepas. Malangnya,hajat saya juga tidak kesampaian apabila ditakdirkan saya diuji dengan peristiwa rompakan di rumah sewa di Kuala Lumpur. Kes ini sama sekali ‘menyekat’ hajat saya untuk turun bersua muka para asatizah saya.


Alhamdulillah,AidilFitri kali ini Allah tunaikan hajat saya untuk ziarah raya,bersua muka dengan mereka di Kelantan. Dengan perancangan awal & rapi saya susun bersama rakan saya yang menetap di Kelantan,akhirnya impian saya untuk bertemu mereka tercapai. Mereka bukan insan biasa. Merekalah yang mengajar saya erti hidup amal islami. Mereka jualah yang mengetuk hati saya tentang hidup dalam suasana biah solehah. Mereka jugalah yang banyak memberi nasihat berguna,berkongsi ilmu faham agama Islam selain mencurah pelbagai kemahiran pada anak murid baik kemahiran berbentuk pengurusan diri,organisasi mahupun urus atur menuju ukhrawi.

Segala jasa,pengorbanan & tunjuk ajar para murabbi ini lah,menyebabkan terdetik di hati saya untuk bersua muka sekurang-kurangnya bertanya khabar & berterima kasih kepada mereka setelah hamper 3 tahun tidak bertemu muka.

Alhamdulillah,hajat ini ditunaikan Allah.

2 hari saya bersama rakan-rakan dimanfaatkan untuk berziarah raya ke beberapa rumah ustaz & juga rumah rakan-rakan saya sekitar Kelantan. Tanpa diduga,saya juga dimurahkan rezeki untuk bertemu muka bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Mursyidul Am PAS(mantan Menteri Besar Kelantan) di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka. 

Saya rasa sudah lama memendam impian ini untuk berjumpa sendiri tok guru,tanpa disangka Allah mudahkan urusan saya dengan memberi ruang untuk saya solat subuh berjemaah di Masjid Tok Guru bersama beliau di samping sempat mencedok ilmu kuliah subuh yang disampaikan beliau.

AllahuAkbar.

Susuk badan seorang murabbi ini akhirnya berada betul dihadapan mata saya. Bak kata orang,bukan senang bertemu dengan tokoh besar yang dikagumi dunia Islam ini. Alhamdulillah, hajat saya ditunaikan Allah akhirnya pada tahun ini. Sebak di dada saya tahankan sebaik sepanjang menjejakkan kaki di halaman tok guru ini.

Tok Guru dalam ucapan/tazkirahnya,penyampaian beliau sangat mudah difahami malah beliau sering mengaitkan apa yang disampaikan itu dengan realiti yang berlaku dalam hidup kita. Katanya ringkas,maknanya mendalam,kesannya baik.

Saya bersyukur pada Allah dengan kurniaan,rezeki & peluang yang Allah sediakan untuk saya kali ini. Akhirnya,dalam satu masa,2 hajat saya telah ditunaikan Allah.


Terima kasih Tuhan.


Di rumah Prof Madya Dr Shukeri(Bachok)



Masjid Tok Guru Pulau Melaka.

















Rumah Dr Najib(Kubang Kerian)









Monday, June 23, 2014

"Dialah Murabbi,Dialah Pejuang" -Dr Riduan Nor


             PAGI yang indah ini, aku terasa longlai tak bermaya dengan berita yang menyentap tangkai hati, kepulangan ke alam abadi sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, Almarhum Ustaz Datuk Abu Bakar Chik. Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus, memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri mesyuarat pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam Pas Pusat. 



Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum apabila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi.


Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70-an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. 

Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.


Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988. Kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jemaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tawawur perjuangan Islam.


Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda Pas Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan perlbagai lagi.

Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tidak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai, program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. 


Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tidak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.


Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jemaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.


Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak -anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. 



Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang, menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.


Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya, Datuk Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tidak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90-an, menggelarkannya secara diam "al-Fatihah", kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. 

Al-fatihah buat maestro perjuangan, kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu sementara pembantunya cedera.Kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.Jenazah akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah (MTT) Tok Jiring untuk disolat dan dikebumikan.

23 Jun 2014.


Sunday, June 8, 2014

Aku di Annual Grand Meeting..


2 semester  bersamaan 1 penggal saya memegang taklifan sebagai Pengerusi Pelajar Jabatan Siasah Syar’iyyah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Jabatan saya ni antara satu cabang kursus daripada aliran syariah dan saya boleh katakan bilangan pelajar yang ambil kos ini tidaklah mencapai angka yang  terlalu tinggi.


Sesi 2013/14 ini saya diamanahkan sebagai pengerusi bagi jabatan ini. Tampuk kepimpinan jabatan ini tidaklah seperti badan persatuan lain yang punyai peranan besar dan aktiviti yang melibatkan semua pelajar. Jabatan ini hanya berfungsi dalam lingkungan aktiviti bersama antara pelajar-pelajar kos ini baik dari sudut akademik, kebajikan, kerohanian, sukan dan lain-lain. Namun,ini tak bermakna saya dan rakan-rakan lain yang naik dalam tampuk ini perlu ambil mudah dan pandang enteng dengan tanggungjawab ini.


Satu tahun bukan lah satu tempoh yang singkat. Pelbagai dah aktiviti yang telah kami kendalikan sebaik mungkin. Saya cuma ingin merakamkan kesyukuran dan terima kasih kepada semua kenalan yang sering memberi sokongan sepanjang memegang taklifan ini.
Penat lelah, suka duka, suram riang, perasaan marah, itu semua sudah saya lalui sepanjang tampuk kepimpinan tersebut. Terlalu banyak cadangan aktiviti yang dirancang cuma mungkin faktor masa dan keadaan yang membantutkan keadaan. InsyaAllah ada hikmah di sebalik.


Nevermind,itu bukan perkara yang perlu dihighlight kan. Yang penting sejauh mana setiap kelemahan,diperbaiki untuk hari mendatang. Kesusahan hari ini mengajar kita untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. Kesulitan hari ini adalah sebagai 'guru' untuk mendidik diri lebih baik pada masa seterusnya.

Teringat satu kata-kata:

“Look back to learn,not to blame, look forward to plan not just dream.”


Ok lah,ikutkan saya mahu kongsikan dengan anda antara kenangan dan aktiviti sepanjang 3 tahun saya menjadi pelajar jabatan ini. Namun,ada baiknya saya akan ceritakan pada anda selepas saya selesai pakai ‘jubah’ (konvo). Hehe..


Ruangan ini saya cuma nak kongsi beberapa kepingan gambar semasa majlis Annual Grand Meeting (AGM) jabatan saya 3 minggu lepas. AGM ini untuk pengetahuan anda semua merupakan satu majlis seperti muktamar bagi membuka sesi muhasabah sepanjang tampuk kepimpinan seterusnya melantik figura-figura baru untuk menggantikan muka lama. Dalam kata lain,pass baton la noh..


Teman-teman,bermula minggu depan start final exam untuk semester ni.
Doakan saya semoga tenang dan succcess.







cenderahati kepada Dr Osman




bersama pengerusi jabatan yang baru.





kak Anne,satu-satunya staff kami.Sungguh rajin.





antara suasana di AGM



cenderahati kepada Dr Bharuddin(Ketua Jabatan merangkap mentor saya)



suasana di kaunter pendaftaran AGM






cenderahati kpd Dr Raja






Ketua jabatan kami 


kaunter pendaftaran


semua student jabatan bergambar bersama pensyarah & staf


my classmates





Sunday, May 18, 2014

Memori 2: Pusat 'tarbiyah' di PLKN

Mungkin timbul beribu persoalan di fikiran pembaca sekalian dengan title entry ni. Memori 3 bulan sebagai peserta Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) sedikit sebanyak mengajar aku erti kehidupan yang bermakna.

Aku mendapat tawaran untuk sertai program ini sebelum bermulanya peperiksaan akhir Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) di Sek Men Agama Persekutuan,Kajang. Ketika itu,aku masih ingat aku sedang mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan di bilik study. Apabila mesej sampai dengan tawaran untuk sertai kem ini, fikiran aku mula kacau dan risau bagaimana aku mahu hidup di kem PLKN nanti. Biasalah, isu plkn ini mula tersebar dengan pelbagai persepsi negative contohnya kem ini tempat geng-geng gangster, pelatih plkn ni garang, ‘kau tak cukup tidur’ dan bla bla bla…

Namun,aku putuskan untuk tidak terlalu fikir tentang itu kerana fokus utama aku ketika itu ialah persiapan untuk SPM.

Beberapa hari sebelum ke kem PLKN...

Selesainya spm,persiapan aku lebih terarah untuk ke kem plkn. Aku mendapat tawaran di kem Merang Suria di Setiu,Terengganu. Dalam fikiran aku,aku terbayang dengan apa yang bakal berlaku sepanjang 3 bulan di kem tersebut. Kes buli, tak cukup tidur, tempat ‘keras’ semua ini kuat terngiang-ngiang beberapa hari sebelum bertolak ke sana.

Aku tidak hiraukan semua itu, aku sudah bersedia dari sudut mental dan fizikal. Aku tahu, kekuatan mental,fizikal dan spiritual akan membantu diri seseorang itu untuk menghadapi apa jua kemungkinan samada baik atau buruk. Sejak itu,aku mula bersiap dari aspek semua itu. Solat malam aku tidak tinggal, bacaan al-Quran aku tidak putus. Tidak lupa juga dengan kecergasan tubuh badan aku,setiap pagi aku akan bersenam bagi memastikan tubuh fizikal aku tidaklah senang dibuli orang. Haha..

Aku punyai impian untuk dicapai sepanjang kem plkn ini. Antaranya aku mahu kenalpasti apa kekurangan dan kelebihan diri aku ini supaya aku dapat perbaiki segala kekurangan dan dapat menyumbang pada ummah atas apa kelebihan yang aku miliki.

MSHC..

Sebaik tiba di Merang Suria Holiday Camp (MSHC),hati aku sedikit gerun melihatkan gaya-gaya yang pelbagai daripada peserta2 lain. Ada yang rambut pacak, berseluar jeans, berbadan tegap, muka gangster dan lain-lain. Gaya penampilan rambut sudah cukup buatkan aku gerun dan lemah jantung. Namun,hari pertama plkn ini kami dikehendaki untuk memotong rambut sehingga nipis(nampk kulit). Ini antara syarat kepada peserta di semua kem plkn. Aku sangat setuju kerana sebaik sahaja masing-masing berambut pendek, tiada lagi menampakkan gaya gangster,muka rock,kaki buli dan sebagainya. Nampak baik je semua. Haha..

Memasuki 2,3 minggu pertama,aku masih ‘kekok’ atau janggal dengan suasana di kem. Aku ditempatkan dalam kumpulan Alpha(merah). Untuk pengetahuan pembaca,kem aku dibahagikan kepada 4 kumpulan besar iaitu Alpha(merah),Bravo(biru),Charlie(kuning) dan Delta (Hijau). Kebetulan dorm aku pula paling hadapan dengan pusat kem atau pejabat latihan pentadbiran. Suasana kem ini sangat nyaman,ini kerana kawasan ini berkedudukan hampir dengan pantai. Udara di waktu malam sangat sejuk,nyaman dan menyenangkan. Petang-petang jika aku berkelapangan,aku akan rajin kaki ambil angin di tepi pantai. Betapa hebatnya ciptaan Tuhan.


Sukan

Di kem ini,aku berpeluang mencuba pelbagai aktiviti sukan dan lasak. Antaranya seperti latihan menembak,flying fox,berkhemah,berkayak,jungle trekking, futsal,kawat kaki dan lain-lain. Banyak aktiviti baru yang aku tidak pernah buat selama ini terdapat di plkn ini. Aku sangat beruntung dapat merasainya secara percuma. Alhamdulillah,kesemua aktiviti-aktiviti ini aku dapat lakukan dengan sebaik mungkin.

Sukan kayak walau ini kali pertama,namun tak sangka mendapat tempat kedua berduo. Aktiviti menembak juga tidak kurang hebatnya. Tidak disangka juga kawat kaki kumpulan aku dinobatkan johan dalam pertandingan akhir. Sukan kegemaran aku iaitu futsal tidak ketinggalan. Aku berjaya dipilih untuk mewakili kem ini ke kejohanan futsal antara kem-kem plkn seluruh pantai timur. Pasukan aku mendapat tempat ke-empat keseluruhan. Pencapaian yang sangat membanggakan. Namun ia kurang baik buat aku kerana dengan aktiviti futsal ini lah,aku mengalami kecederaan serius di pergelangan kaki kanan akibat terseliuh ketika sesi latihan.

Apa-apapun,aku bersyukur dengan penampilan dan penglibatan aku dalam aktiviti fizikal ini. Air mata aku kekadang menitis saat aku menghitung nikmat yang Allah bagi kepadaku melalui kelebihan fizikal tubuh badan ini. Sejauh mana aku manfaatkan dengan sebaiknya nikmat pinjaman Allah ini. Di sinilah,ia mengajarkan aku lagi tentang nikmat bersyukur dengan kurniaan ini. Alhamdulillah,terima kasih Tuhan.

Cerita tentang surau..
Aku sebenarnya juga tidak lupa dengan seorang guru pelatih yang sangat tegas namun cukup taat dengan agama. Nama beliau ialah Anuar. Kami panggil Cikgu Nuar. Orangnya tegas,badan tegap,tiada kompromi bab agama. Semua orang hormat beliau walau beliau sebegitu. Hebat seseorang itu, jika rapat dengan Allah.

Beliau antara pelatih yang sentiasa memantau pergerakan kami termasuk hal disiplin waktu sepanjang kem berlangsung. Ini termasuk juga waktu solat serta tidur bangun kami. Pernah suatu ketika rakan-rakan aku disimbah dengan air kolah kerana masih liat untuk bangun pagi,sedangkan ketika itu 15-20 minit belum masuk waktu subuh. Bila mengenangkan balik,cara sebegini juga bagi kesan kepada kami untuk lebih kuat bangun solat subuh. Kami diajar dengan kekerasan pada awalnya,namun ia menimbulkan kesan baik kami di hari berikutnya. Satu part yang kelakar ialah apabila seorang kenalan aku yang berbangsa Cina turut disimbah air oleh cikgu Nuar,ini kerana rupa wajahnya memang sebijik seperti orang Melayu. Haha.. kenangan yang tak dapat dilupakan.


Kami diajar untuk hadir ke surau 5 minit sebelum azan waktu solat. Ulang,5 minit sebelum azan solat,bukannya sebelum solat. Allah,sungguh tegas dalam hal agama ini. Cikgu Nuar antara pelatih yang sangat tekankan disiplin waktu. Jika tidak,pelbagai denda yang bakal diterima. Antaranya ialah bersih kawasan kem, basuh tandas,basuh kolah dan lain-lain. Ini satu didikan yang membina untuk kami di akhirnya.


Aku juga dilantik sebagai Ketua Unit Surau. Hal ehwal surau dan kerohanian kem semuanya dipikul oleh aku dan juga rakan-rakan sejawat. Kami ditetapkan untuk menyampaikan tazkirah ringkas di surau setiap kali selepas solat fardhu. Pernah suatu ketika, kami terlupa untuk menyampaikan tazkirah asar disebabkan terlalu penat balik daripada aktiviti lasak. Namun,apabila perkara ini diketahui oleh Cikgu Nuar,kami terus dipanggil di depan semua pelatih lelaki ketika ‘roll-call’. Tanpa alasan munasabah,kami didenda dengan melakukan ‘pusingan tayar kereta kebal’. Ini kali pertama aku didenda seperti ini. Akibatnya,aku mula cepat pening dan muntah-muntah. Maklumlah,tak biasa buat benda macam ni. Haha.

Sebenarnya banyak lagi episode suka dan duka yang mahu aku kongsikan kepada pembaca semua,namun mungkin terlalu panjang dan bosan untuk kalian ikuti plot cerita ini. Cuma pointnya yang aku cuba sampaikan ialah sepanjang kem ini lah,aku dapat merasai pelbagai perkara baru yang aku perlu aplikasikan di kehidupan seterusnya. Antaranya:
  1.   Aku kini lebih merasa terhitung dengan kurniaan keluarga terutama pengorbanan mak ayah aku. Di plkn ni,terlalu banyak aktiviti yang menekankan kasih sayang kita kepada mak ayah. Aku tidak tahan mengingatinya kembali. Sebaik pulang ke pangkuan mak ayah,aku tidak semena-mena mengucapkan ucapan ‘terima kasih’ kepada mak ayah aku. Itu aksi spontan aku ketika berjumpa.
  2. Aku juga belajar untuk lebih berdikari dengan apa sahaja kelengkapan yang aku miliki sepanjang aktiviti.
  3.  Aku juga dapat merasai bertuahnya aku ini sebab masih dapat melakukan pelbagai aksi sedangkan masih terdapat insan yang tidak berupaya melakukannya. Ini mengajar aku bagaimana erti syukur kita aplikasikan.
  4. Aku turut merasakan aku ni bukan sahaja sebagai pelatih khidmat Negara,namun aku ini juga sebagai pendakwah untuk agama Islam. Aku masih ingat kawan rapat aku yang beragama Hindu yang aku panggil namanya Ricky. Dia setiap malam berzikir sebut kalimah Allah sebelum tidur di telingaku. Aku hanya berbalas dengan senyuman yang lebar. Moga suatu hari hatinya aku terbuka oleh Allah untuk menerima hidayah Allah. Kita juga adalah pendakwah sepanjang masa.

Dalam hidup ini apa yang penting adalah mencari mardhatillah, kerana atas itulah kita akan dimasukkan ke syurga. sentiasalah berada di jalan mencari mardhatillah itu. we all fall short sometime. terkadang kita terbabas dari landasan yang sepatutnya. but as long as we pray five times a day, keep holding on Quran and always follow Sunnah, we will be a shining star even in the darkest sky.

“Jika Allah memberi hidayah kepada seorang lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” [Riwayat at-Tabrani]

share and spread a good words. it’s dakwah. dakwah itu wajib untuk setiap orang. bukan hanya ustaz dan ustazah.

"jika seseorang itu menunggu sempurna baru hendak menyampaikan dakwah, nescaya tiadalah pendakwah dan sedikitlah orang yang memberi peringatan." [Hassan Ali r.a]

Aku ingin tamatkan episode memori aku di plkn ini dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh penggiat dan pelatih PLKN di Merang Suria,Setiu Terengganu.

Dalam Rahmat Allah insyaAllah..




Sunday, February 23, 2014

Dia insan teristimewa buatku..

Dia insan istimewa dalam hidup aku. Dikala aku ditimpa musibah,dia lah yang membakar semangat untuk terus cekal dan tabah.
Dikala aku dihimpit masalah,dia lah insan yang tampil merungkai idea permasalahan.
Dikala aku memerlukan motivasi,dia lah insan yang tidak putus meningkat motivasi diri ini.
Dikala jiwa merundum kesedihan,dia lah insan yang berjaya ‘membaca’ isi hati ini.
Mama,engkau lah insan teristimewa dalam hidup ini.

Tanggal 23 Februari 2014 merupakan ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-51. Sama usia dengan ayahku. ‘Mama’ adalah panggilan yang kami sekeluarga gunapakai bagi kata ganti seorang ibu. Mama walaupun punyai seribu kelemahan namun masih punyai satu juta kelebihan.

Tiada apa yang mahu saya kisahkan mama kepada pembaca kerana setiap ibu semestinya punyai kisah yang indah bagi setiap anaknya. Saya tetap bersyukur atas kurniaan Allah seorang ibu ini kepada kami.

Pernah suatu ketika bulan Ramadhan tahun lepas mama diuji hebat oleh Allah. Sepanjang ramadhan lepas,mama menjalani pembedahan pembuangan ‘apendix’ dan juga pembuangan ‘rahim’. Dan selama lebih kurang 20 hari mama terlantar di atas katil hospital di Kuala Terengganu.

Kisahnya bermula apabila mama mengadu sakit perut dan muntah-muntah beberapa kali ketika sedang bekerja di pejabat. Kebetulan ketika itu saya berada di rumah cuti semester. Di awal pagi sekitar jam 9,mama kol saya katanya mahu ke klinik untuk buat pemeriksaan perut. Wajah mama ketika itu begitu pucat namun dirinya tenang,buatkan saya resah seketika. Setelah mendapat nasihat doktor,mama ambil cuti dari bekerja. Di rumah,mama rehat sepanjang hari namun tanpa disangka selepas solat asar,mama mengadu sakit di perut sekali lagi. Ayah membawa mama ke klinik namun atas nasihat doctor,mama perlu masuk wad dan terus dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.Kami di rumah terlopong dengan berita ini. Dalam fikiran saya,sudah tentu penyakit mama ini serius.Jika tidak,mana mungkin perlu dimasukkan ke hospital.

Mama berada dalam jagaan jururawat dan selang beberapa hari,mama diberitakan mengalami masalah appendix dan perlu menjalani pembedahan tersebut dalam masa terdekat. Tanpa mama di rumah,kerja-kerja di rumah kami(adik-beradik) yang ambil alih menggantikan mama dan ayah. Ayah menjadi peneman setia di sisi mama sehinggakan hampir satu minggu ayah mohon cuti kerja.

Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Pernah satu perkataan yang terbit dalam fikiran saya iaitu ‘maut’. AllahuAkbar. Hampir 5-6 jam mama jalani proses bedah. Doktor kata,mama alami 2 pembedahan iaitu pembuangan appendix dan juga rahim. Ini berikutan jika rahim tidak dibuang,nanah akan singgah kat situ dan boleh sebabkan kanser rahim. Mama tenang hadapinya,kami tawakkal dan redha sepenuhnya. Syukur Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Hebat ujian mama di bulan Ramadhan.Mama berpantang lebih kurang 2 bulan lebih. Sepanjang masa itu,kami lah yang ‘mengharmonikan’ aktiviti keluarga ini. Saya masih ingat,ayah yang susah buat kerja di dapur seperti memasak,ketika itu menjadi sangat rajin. Kami sekeluarga sangat erat ketika itu.pelbagai ragam apabila lelaki masuk ke dapur. Haha.

Saya mendapat nasihat beberapa rakan perempuan tentang keadaan mama yang seperti itu. Kata mereka,mama perlu dijaga dengan baik. Terutama dari sudut mental,perasaan dan lain-lain. Semestinya perasaan mama sedikit berubah dan terjejas atas faktor pembuangan asset penting wanita tersebut. Ya,saya sudah melihat kesannya pada mama sepanjang berada di sisi mengurus kerja buat mama ketika sakit. Dengan sedayanya kami akan menjaga mental dan fizikal mama. Sepanjang ayah bekerja,kami lah yang mengurus hal ehwal keluarga termasuk makan minum mama.

Sepanjang mama sakit,setiap saat jika berjauhan dengan mama,saya akan rasa risau. Yelah,risau jika apa berlaku pada mama. Berkat di bulan Ramadhan,tidak putus doakan moga mama dipelihara Allah dan sembuh dengan baik. Jika kami tidak mampu menjaga mama,moga Allah tetap menjaganya.

Setiap hari mama tidak putus menerima kunjungan pelbagai pihak datang ziarah. Bekalan nasihat dan motivasi diberikan. Tidak lupa juga kepada semua kenalan yang sentiasa mendoakan keadaan mama walau jauh di mata. Terima kasih semua. Saya tetap hargainya.
Saya pernah terbayang adakah ini ramadhan terakhir kami bersama mama?? AllahuAkbar. Kami redha apa yang berlaku dan akan berlaku pada mama. Alhamdulillah sampai hari ini saya masih mampu mendengar suara mama,melihat senyuman mama.

Kepulangan saya ke Kuala Lumpur menyambung sesi pengajian di IPT dikejutkan dengan satu getaran mesej yang masuk ke henfon.

“…terima kasih menjaga mama selama mama sakit.Mama rindu kamu…”

Air mata saya yang beku penuh dengan dosa ini tidak semena-mena mudah mengalir air mata tika itu. AllahuAkbar…

Mungkin tidak cukup dengan kata-kata jika tidak dibuktikan dengan tindakan.Apa-apa pun..

Love You So Much mama….
bersama ayah ketika raya tahun lepas..
Mama insan teristimewa.


Wednesday, February 5, 2014

Memori 1: Tragedi Oktober 2013



Memori 1 saya kongsikan kepada pembaca .

Peristiwa 13 OKTOBER 2013 sentiasa menjadi ingatan dalam diri saya setiap masa. Akan saya ungkap beberapa hikmah yang saya peroleh,terlebih dahulu ingin saya cerita peristiwa tersebut. 

Peristiwa 13 OKTOBER  ini saya boleh katakan. Antara peristiwa ‘hitam keputih-putihan’. Kenapa? Memang satu kejadian yang tragis bagi saya,namun terselit beberapa hikmah yang Allah mahu ‘hadiahkan’ kepada saya. Itu sebab disebalik peristiwa hitam,namun bermakna buat saya.

Saya bersama seorang rakan serumah sewa saya di Petaling Jaya telah dimasuki 3 perompak yang menyamar sebagai anggota polis. Alkisah bermula kira-kira pada jam 5.00 pagi,saya terjaga untuk menunaikan hak saya pada Tuhan. Beberapa minit kemudian,saya dengar bunyi bising di pintu ‘grill’ sebelah rumah sewa saya. Saya jangka tuan rumah baru pulang ke rumah kerana kedengaran suara mereka yang riang. Saya tidak peduli. Namun,hati saya tidak sedap apabila pintu rumah saya diketuk oleh seseorang beberapa kali. Saya baru teringat bahawa saya terlupa untuk mengunci pintu grill kerana tergesa-gesa pulang rumah semalam. Saya berfikir tidak mungkin individu yang mengetuk pintu ini rakan-rakan saya apatah lagi housemates saya yang lain yg sudah pulang ke kampong halaman(sempena raya Haji). Andai rakan2 saya yang lain,semestinya mereka akan menyebut nama saya.tapi kali ini tidak. Rakan saya yang sorang lagi terjaga dari tidur dan menyuruh saya membuka pintu. Saya tegas berkata tidak,ini orang lain dan bertindak untuk berdiam diri sahaja.



Tiba-tiba,tanpa disangka pintu tersebut terbuka kesan daripada umpilan tombol individu tersebut. Kami tergamam dalam keadaan yang gelap. 3 orang perompak(ketiga-tiga India). Seorang berbadan gempal muka bengis,seorang kurus peramah dan seorang lagi badan berisi,berkopiah dan pendiam. Tanpa memperkenalkan diri,salah seorang daripada mereka(kurus) terus mengatakan “korang jangan bergerak,kami polis. Kami terima laporan orang ramai rumah ini disyaki tempat penagih dadah..Kami datang nak buat siasatan.”

Cara dia bercakap sangat peramah,lembut dan kami seolah-olah percaya. Kemudian,si kurus itu terus minta kerjasama kami utk serahkan henfon yang ada & kad pengenalan diri. Kami yang percaya terus memberi barang-barang tersebut. Kawan saya,Ali (bukan nama sebenar) miliki 3 henfon. Dia menyerahkan 1 biji namun 2 biji lagi berjaya dirampas mereka. Saya kebetulan ic memang simpan dalam kereta berserta dompet. Apabila saya memberitahu ic tinggal dalam kereta,dia seolah-olah tidak percaya kerana saya miliki kereta. Ditanya saya jenis kereta,kerana fikir demi keselamatan,saya menipu jenis kenderaan tersebut.

Sikap saya yang banyak bertanya & bercakap manakala Ali(rakan saya) hanya berdiam diri.
Pelbagai soalan saya ajukan kepada si kurus tersebut dalam keadaan bergelap atas arahan mereka.Sambil 2 lagi rakan dia ke bilik menggeledah untuk menjalankan ‘siasatan’ mereka. Antara yang saya tanya ialah tempat mereka bertugas.Katanya di Pejabat Polis seksyen 17 dengan penuh yakin. Ditambah lagi dia ketika itu menelefon sarjan/bos dia dan berbual dengan gaya seorang inspector yang bertugas. Namun,saya dapat agak dia bercakap sendirian kerana gaya dia bercakap terlalu cepat & gelabah. Saya masih keadaan tenang ketika itu & masih tidak syak mereka sebagai perompak ‘ganas’. 


Saya juga tak sempat nak minta dia tunjukkan kad kuasa polis. Si kurus itu juga bertanya khabar tentang akademik saya,jurusan apa yang diambil dan siap berpesan belajar elok-elok dengan ramahnya. Sungguh terharu. Memang macam seorang pemimpin. Kami juga ditanya samada merokok/hisap atau tidak. Tambahan itu,kami disoal samada ada menyimpan atau tidak ‘ais’(sejenis dadah). Ketika itu,saya tak faham apa itu ais,tapi Ali menjelaskan itu sejenis dadah. Maaf,barang2 tersebut jauh beribu batu dari hidup kami.


Setelah dalam setengah jam,ketiga-tiga indivdu tersebut berdiri tegak di hadapan kami. Salah seorang daripada mereka meminta kami ke tandas untuk ujian air kencing. Part ini lah yang membuatkan saya mula mengesyaki mereka ini sah seorang perompak. Kami disuruh buang air kecil dalam gelas yg mereka ambil di dapur,kemudian saya perhati mereka tangok-tengok macam tu dan terus minta kami buang. Terbukti mereka tiada kepakaran dalam hal ni sebaliknya sebagai syarat untuk berlakon sebagai anggota polis yang memang menjalankan siasatan kes dadah cara sebegini. Selepas itu,saya dapati laptop kami telah hilang. Apabila saya Tanya buat apa ambil laptop,si kurus kata mereka nak buat siasatan. Si badan tegap pula kata “ada kamu nampak kami ambil? Kamu kat tandas tadi kan?” 

Huh,cilik betul mereka. Saya tidak berdiam diri.,saya tanya bila boleh serahkan kembali barang-barang kami. Terus dijawab petang esok kami datang balik. Dalam hati,sungguh tidak percaya. Saya perhati si berkopiah keluar rumah beserta barang-barang kami yg dirampas.Sementara 2 orang lagi masih di dalam rumah menjalankan ‘siasatan’ mereka. Zikir HasbunaAllah berterusan dalam hati saya…

Sekitar jam 6.00 pagi,azan subuh di surau berdekatan kedengaran. Ketika itu,si kurus gelisah sambil berkata “wei,korang tak rasa panas ke duk rumah ni? Panas giler aku rasa ni(sambil mengipas muka)”. Ketika itu,saya fikir ini kuasa Allah nak tunjuk. Tuhan bersama kami. Mulut kumat kamit berzikir. Hati berdebar,jiwa gelisah fikiran berlegar pelbagai perkara yang bakal terjadi.Ketika itu,saya berfikir untuk berlawan dengan mereka dan keluar rumah. Namun,jauh dari sudut kawan saya berada. Saya risau dia akan tertinggal keseorangan. Niat itu saya batalkan. Saya juga terdetik ingin cuba call 999 menggunakan telefon rumah,namun gerak geri kami dikawal rapi. Kami terpaksa ‘setia’ sampai ke penghujungnya menyaksikan drama seterusnya.

Si badan tegap itu menyoal saya sebaik azan berhenti berapa jumlah yang kamu boleh bayar untuk selesaikan kes ini. Sambil memegang kepala saya. Saya jawab dengan tenang,saya tiada duit sekarang,duit dalam kereta. Ditanya kembali berapa jumlah yang ada. Jawab saya Rm50. Apabila dia tidak percaya dan menyoal dengan bengis,terus saya cakap ada rm100.


Kemudian,dengan keadaan kalut,mereka berdua terus menggeledah di ruang tamu rumah. Kami perhati dalam keadaan berdebar. Kami dapat cam pergerakan dan muka mereka dibantu oleh sinaran cahaya dari luar jendela. Dalam keadaan masih gelap,mereka menggeledah mencari barang dibawa ‘bekalan’ mereka. Buku-buku agama berselerak,kitab dicampak, satu persatu beg diperiksa, wayar telefon & wifi diputuskan dan yang paling saya terkesan ialah apabila Al-Quran dibaling begitu sahaja. Hati sebak,tak berdaya nak buat apa. Bimbang keselamatan kami untuk bersuara apatah lagi bertindak. Mulut saya ketika itu tidak lain hanya zikrullah membasahi. Saya minta kawan saya bertenang.


Mereka minta duit,saya katakan ada di dalam kereta. Si badan tegap marah dan terus menampar saya dengan sekuat hati sebanyak dua kali. Terus terpancul dari mulut saya dgn ungkapan ‘Ya Allah’. Terus dia berhenti berbuat demikian. Kemudian,si bengis tadi mengacukan 2 bilah pisau di tangan kanan & kiri ke leher saya sambil minta duit, Ya Allah,ketika itu maut dalam ingatan saya. Saya tidak dapat berbuat apa,terasa ketajaman 2 bilah pisau itu di leher saya. Saya kata saya akan beri,tapi jangan buat apa-apa kepada kami.Dia kemudian minta saya turun bawah ke kereta dan ambil duit untuk diberikan kepada mereka. Sambil turun ke bawah,dia mengekori saya dan meletakkan pisau di leher. Dah jadi macam tebusan. Suasana ketika itu sunyi,tiada orang kelihatan. Saya tidak berani nak alih muka ke belakang untuk cam dia. Terdetik di hati risau jika dia melarikan kereta saya. Memang merana dibuatnya. Ketika itu juga,saya tidak dapat fikir apa-apa melainkan serahkan duit yang ada. 

Dibukanya dompet,saya serah sekitar rm100. Kemudian dia terus merampas dompet saya yang punyai jumlah lebih kurang rm200. Duit itu saya dapat hasil sumbangan rakan-rakan saya dan plan untuk bank in keesokan hari. Semua sudah lesap begitu sahaja. Kemudian dia terus naik atas kembali. Alhamdulillah,kereta tak ‘diapa-apakan’.


Saya bebas dibawah,baru fikiran boleh berfungsi. Berfikir apa tindakan saya perlu buat. Kawan di atas,saya di bawah. Saya cuba perhati ada atau tidak geng mereka yang menunggu di bawah. Saya dapati sebuah kereta yang menunggu namun saya tidak berani hampirinya sebab risau keselamatan. Dalam keadaan panic,saya terus ke surau di blok bersebelahan dan maklumkan kepada Jemaah surau yang mendirikan solat subuh ketika itu. Pantas,sekitar 10-15 orang menuju ke rumah saya bersama senjata di tangan mereka bertujuan menangkap perompak tersebut. Malangnya,apabila pintu dibuk saya dapati kawan saya terduduk diam ditinggalkan perompak. Mereka bebas. Kerugian hamper Rm5000. Duit,hardisk,hanfon,laptop diambil mereka. Kami tiada barang berharga nilai jutaan,hanya itulah asset kami sebagai pelajar. Kenapa mesti kami yang mangsanya?


Itulah kisah yang saya dapat rungkaikan kepada kalian. Sehingga jam 2.00 petang baru selesai tugas polis untuk buat siasatan menyeluruh kes kami ini. Perasaan ketika itu bercampur-baur. Air mata selama ini beku,menjadi cair. Tempat sujud dibasahinya. Perasaan marah,geram turut merasa fitrah bagi seorang manusia. Kecewa,sedih,menyesal mewarnai perasaan hati ini. Paling  sebak apabila kedengaran suara mak menjerit terkejut dengar berita ini.
Sentiasa dalam ingatan...



Alhamdulillah…

Tragedi ini mengingatkan saya agar lebih teliti dalam setiap perkara. Jangan lepas tangan dalam soal keselamatan selepas ini walau di mana berada.

Alhamdulillah…

Allah telah ‘bersihkan’ harta-harta saya yang diambil perompak. Mungkin itu daripada sumber yang Dia tak redhai. Mungkin ada orang yang lebih memerlukannya.

Alhamdulillah..
Tuhan mengingatkan saya bahawa saya baru kehilangan harta yang boleh dicari namun terdapat manusia-manusia lain lagi yang telah kehilangan insan tersayang dalam hidup. Yang sememangnya tidak dapat ditukar ganti.

Alhamdulillah…

Saya dipesan agar bersyukur dengan apa yang ada. Menggunakan nikmat kurniaan sebaiknya ke arah jalan yang diredhai Tuhan.


Alhamdulillah..

Allah pesan kepada saya agar letak kebergantungan yang tinggi pada-Nya di waktu susah mahupun senang. Allah ajar saya agar tidak leka berdoa kepada-Nya.


Alhamdulillah..

Allah mahu eratkan ‘hubungan’ antara saya bersama-Nya. Dunia tempat mencari bekalan untuk kehidupan selepas mati.


Terima kasih Tuhan atas tragedi ini. Surah an-Naml ayat 40 menjadi ubat dikala perasaan diselubungi dengan kes ini.


Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails