Pages

Lagu


Friday, August 15, 2014

Sampai hajat.

Sejak tahun lepas,saya berhajat ingin menziarahi ustaz/ustazah yang mengajar saya di Universiti Malaya Nilampuri,Kelantan. Tahun lepas,hajat saya terbantut berikutan keadaan mama saya yang terlantar sakit sejak awal Ramadhan. Masa saya banyak dihabiskan bersama mama bagi memastikan mama sentiasa dalam kawalan & jagaan baik.

Kemudian,perancangan saya untuk ke Kelantan ditetapkan pada raya AidilAdha tahun lepas. Malangnya,hajat saya juga tidak kesampaian apabila ditakdirkan saya diuji dengan peristiwa rompakan di rumah sewa di Kuala Lumpur. Kes ini sama sekali ‘menyekat’ hajat saya untuk turun bersua muka para asatizah saya.


Alhamdulillah,AidilFitri kali ini Allah tunaikan hajat saya untuk ziarah raya,bersua muka dengan mereka di Kelantan. Dengan perancangan awal & rapi saya susun bersama rakan saya yang menetap di Kelantan,akhirnya impian saya untuk bertemu mereka tercapai. Mereka bukan insan biasa. Merekalah yang mengajar saya erti hidup amal islami. Mereka jualah yang mengetuk hati saya tentang hidup dalam suasana biah solehah. Mereka jugalah yang banyak memberi nasihat berguna,berkongsi ilmu faham agama Islam selain mencurah pelbagai kemahiran pada anak murid baik kemahiran berbentuk pengurusan diri,organisasi mahupun urus atur menuju ukhrawi.

Segala jasa,pengorbanan & tunjuk ajar para murabbi ini lah,menyebabkan terdetik di hati saya untuk bersua muka sekurang-kurangnya bertanya khabar & berterima kasih kepada mereka setelah hamper 3 tahun tidak bertemu muka.

Alhamdulillah,hajat ini ditunaikan Allah.

2 hari saya bersama rakan-rakan dimanfaatkan untuk berziarah raya ke beberapa rumah ustaz & juga rumah rakan-rakan saya sekitar Kelantan. Tanpa diduga,saya juga dimurahkan rezeki untuk bertemu muka bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Mursyidul Am PAS(mantan Menteri Besar Kelantan) di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka. 

Saya rasa sudah lama memendam impian ini untuk berjumpa sendiri tok guru,tanpa disangka Allah mudahkan urusan saya dengan memberi ruang untuk saya solat subuh berjemaah di Masjid Tok Guru bersama beliau di samping sempat mencedok ilmu kuliah subuh yang disampaikan beliau.

AllahuAkbar.

Susuk badan seorang murabbi ini akhirnya berada betul dihadapan mata saya. Bak kata orang,bukan senang bertemu dengan tokoh besar yang dikagumi dunia Islam ini. Alhamdulillah, hajat saya ditunaikan Allah akhirnya pada tahun ini. Sebak di dada saya tahankan sebaik sepanjang menjejakkan kaki di halaman tok guru ini.

Tok Guru dalam ucapan/tazkirahnya,penyampaian beliau sangat mudah difahami malah beliau sering mengaitkan apa yang disampaikan itu dengan realiti yang berlaku dalam hidup kita. Katanya ringkas,maknanya mendalam,kesannya baik.

Saya bersyukur pada Allah dengan kurniaan,rezeki & peluang yang Allah sediakan untuk saya kali ini. Akhirnya,dalam satu masa,2 hajat saya telah ditunaikan Allah.


Terima kasih Tuhan.


Di rumah Prof Madya Dr Shukeri(Bachok)



Masjid Tok Guru Pulau Melaka.

















Rumah Dr Najib(Kubang Kerian)









LinkWithin

Related Posts with Thumbnails