Ahmed
Deedat dilahirkan di Surat, India pada tahun 1918 M. Ketika dilahirkan, ayahnya
Hoosen, seorang tukang jahit telah pun berhijrah ke Afrika Selatan. Maka dengan
sebab itu, Ahmed Deedat tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang ayahnya.
Ahmed Deedat sejak kecilnya hidup dalam suasana kegawatan, keperitan,
kemiskinan, tanpa pendidikan dan sebagainya yang akhirnya memaksa beliau untuk
berhijrah ke negara lain.
Negara
yang dipilihnya itu adalah negara yang telah dijejaki oleh ayahnya, Afrika
Selatan. Beliau meninggalkan tanah airnya, India bersama tangisan ibunya pada
tahun 1927. Selang beberapa bulan kemudian, beliau dilanda kejutan emosi akibat
perkhabaran ibunya yang telah kembali ke rahmatullah. Di Afrika Selatan, Ahmed
Deedat akhirnya telah Berjaya menemui ayahnya yang terpisah sejak dilahirkan.
Ketika
berada di bumi asing ini, beliau telah memulakan episod baru dalam hidupnya.
Semasa berumur 9 tahun, beliau telah memulakan pengajiannya secara formal di
sebuah sekolah Inggeris. Berkat ketekunan dan ketabahannya, beliau telah fasih
bertutur bahasa Inggeris dalam tempoh yang sangat singkat malah merupakan salah
seorang pelajar cemerlang di sekolahnya.
Namun, akibat kesempitan dan
kekurangan wang yang berlaku pada dirinya sewaktu berusia 16 tahun, beliau
terpaksa berhenti dari persekolahannya lalu menampung kesempitan tersebut
dengan bekerja sebagai seorang pembantu kedai runcit.
Tahun
1936 merupakan detik sejarah yang besar baginya di mana bermula dari situlah
kisah hidupnya sebagai seorang pendakwah Islam yang termasyhur diseluruh dunia
hari ini bermula. Pada waktu itu, beliau bekerja di salah sebuah gedung
membeli-belah milik seorang peniaga Islam. Gedung tersebut pula bersebelahan
dengan pusat penyebaran dakyah Kristian yang terkenal sebagai pusat misionari
Kristian dengan nama Natal South Coast. Setiap waktu sepanjang menjalankan
tugas di gedung tersebut, beliau kerap menerima tetamu misionaris yang ingin
benar cuba mempengaruhinya supaya memeluk Kristian di samping mencela agama
yang dianuti iaitu Islam.
Dengan
keteguhan Iman yang tersemai di dadanya di samping hidayah Allah s.w.t yang
diturunkan,muncul di lubuk hatinya satu cetusan dan semangat berkobar-kobar
untuk menghalang kegiatan dan propaganda kristian yang palsu ini. Guru pertama
beliau yang telah banyak memberi maklumat dan panduan dalam menghadapi serangan
dakyah kristian ini adalah sebuah kitab dalam bahasa Urdu yang terkenal dengan
terjemahan Arabnya dengan nama Izhaarul Haq.
Kitab
tersebut telah dikarang oleh seorang ulama India yang bernama Rahmatullah al-Hindi
yang digunakan untuk mempertahankan Islam dari serangan Kristianisasi yang
berleluasa ketika itu semasa penjajahan British di India. Ahmed Deedat juga
telah mengkaji kandungan kitab Bible sebagai maklumat untuk menghentam kembali
kepalsuan yang terdapat dalam agama Kristian.
Hasilnya,
Ahmed Deedat telah berjaya melawan tetamu misionaris tersebut malah dapat
mematahkan hujah mereka satu persatu ketika mereka mengemukakan celaan terhadap
Islam. Beliau juga telah menyusun banyak perdebatan dengan paderi-paderi yang
tinggal di daerahnya di mana kesemua debat tersebut dimenangi oleh Ahmed Deedat
sendiri bahkan menjadikan Ahmed Deedat sebagai guru mereka. Kejayaan yang
beliau perolehi ini menyebabkan beliau terkenal sebagai seorang pendakwah dan
pembela Islam.
Saban
hari kedengaran gerakan Kristianisasi dan misionaris Kristian makin berkembang
dengan pesatnya di kebanyakan negara Islam, menyebabkan tekad dan semangatnya
semakin bernyala-nyala untuk menyekatnya. Ketika beliau berumur 30 tahun ke
atas, pelbagai usaha telah dilakukan. Antaranya, penubuhan Institut As-Salam,
mengadakan kelas pengajian Bible di samping kerap menyampaikan syarahan di
merata dunia. Beliau juga merupakan ahli dan menjawat jawatan Presiden
pertubuhan Pusat Propagasi Islam Sedunia (IPCI) yang berpusat di London dan
Dubai.
Ahmed
Deedat juga kerap kali dijemput oleh institusi gereja di seluruh dunia termasuk
Amerika Syarikat, Britain, Sweden, dan beberapa negara Eropah yang lain untuk
perdebatan mencari kebenaran antara Islam dan Kristian. Kemenangan acapkali
berpihak kepada beliau. Berkat kebijaksanaan dan ketabahan beliau, ramai
penganut Kristian mula curiga dengan agama yamg mereka anuti selama ini. Tidak
kurang juga yang kembali kepada Islam. Seorang paderi terulung Amerika yang
bernama Murrock Jemmi Sogart, ketika tertewas di dalam siri perdebatan dengan
Ahmed Deedat, akhirnya mengakui kepalsuan agama Kristian lantas melafazkan
kalimah syahadah, Allahu Akhbar!
Pada
tahun 1986, Ahmed Deedat telah dikurniakan Anugerah Antarabangsa Raja Faisal di
Arab Saudi sebagai tanda menghargai jasa beliau dalam memartabatkan Islam dan
membelanya dari serangan Kristianisasi.
Ahmed
Deedat mempunyai lebih 20 karangan mengenai siri pemurniaan Islam dan
pembelaannya yang telah tersebar di seluruh dunia pelusuk dunia. Antara
karangan beliau yang terkenal adalah:
Combat
Kit (Tentera Yang Bersiap Sedia)
Christ
In Islam (Nabi Isa di dalam Islam)
Al-Quran,
The Miracles of Miracles (Al-Quran, Keajaiban dari segala Keajaiban)
Cruxifixion
or Cruci-Fixtion? (Penyaliban, Rekaan atau Benar?)
Is
The Bible God’s Word? (Adakah Bible Kalam Tuhan?)
What
The Bible Says About Muhammad PBUH? (Apa yang diUngkapkan Bible tentang Nabi
Muhammad s.a.w?)
Sesungguhnya
Ahmed Deedat antara salah satu tokoh teragung Islam yang berjuang di atas
rasa kesedaran yang perlu dijadikan idola oleh umat Islam. Semoga Allah memberi
ganjaran yang setimpal atas usaha beliau selayaknya. Amin.
Terima kasih menyiarkan biodata mengenai beliau..
ReplyDeleteSyukor dengan info Tuan Admin.Izinkan untuk rujukan.
ReplyDeleteDimana saya boleh dapatkan hasil karya Sheikh Ahmad Deedat? area K.L
ReplyDelete