Pages

Lagu

Wednesday, January 12, 2011

Usul 20..





Usul 'Isyrin (20) dinukilkan oleh Imam Asy-syahid Hassan Al-Banna, merupakan antara panduan dan pemudahcara bagi memahami konsep dalam menyusuri kehidupan sebagai Muslim yang syumul.


1. Islam adalah agama yang menyeluruh dan lengkap.

Islam adalah satu sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah.

2. Al-Quran dan As-Sunnah adalah rujukan asas dalam perundangan Islam.

Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan sumber rujukan bagi setiap muslim dalam memahami hukum-hukum Islam. Al-Quran hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah Bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabi buta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat Hadith yang thiqah

3. Iman sejati, ibadah yang sah dan perjuangan mempunyai cahaya dan kemanisan didalam hati. Ilham, lintasan hati, mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum Agama.

Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syara’. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas agama.


4. Tangkal, jampi selain ayat Al-Quran dan Hadis serta mendakwa tahu hal ghaib (yang belum berlaku) adalah munkar yang wajib dibenteras.

Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu yang diambil dari laut seperti kulit kerang untuk menghindarkan sakit mata), al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal untuk mencari barang kecurian, tempat orang sesat dsb), kihanah (pemberitahuan tentang perkara-perkara ghaib pada masa akan datang atau perkara yang tersembunyi di dalam hati orang lain) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang ma’thurah (datang dari Rasulullah SAW).


5. Keputusan pimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahat,yang tiada nas atau ada nas tetapi mempunyai berbagai tafsiran.

Pendapat Imam atau Naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas, yang boleh menerima andaian pelbagai segi dan yang berhubung dengan masalih al-mursalah boleh diterima sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah-kaedah syara’. Kadang-kadang ia berubah menurut keadaan, uruf dan adat. Asal pada ibadat ialah ta’abbud tanpa melihat kepada makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmah dan tujuan.
6. Kata-kata seseorang selain Rasulullah saw tidak semestinya betul dan diterima.
Setiap orang boleh diterima dan ditolak kata-katanya melainkan Rasulullah SAW yang maksum. Setiap yang datang dari salafus soleh yang bertepatan dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya kita terima dengan sebulat hati. Akan tetapi jika berlawanan dengannya maka Kitab Allah dan Sunnah RasulNya lebih utama diikuti. Walau bagaimanapun kita tidak sekali-kali mengecam atau mendedahkan keburukan peribadi-peribadi tertentu di dalam masalah yang diperselisihkan. Kita hanya berserah kepada niat hati mereka. Sesungguhnya mereka berlalu dengan apa yang mereka lakukan.


7. Seorang yang belum pakar dalam Feqah, ikutlah salah satu dari 4 Mazhab tanpa taksub. Terimalah pandangan mazhab lain jika dalilnya lebih kuat.

Setiap muslim yang tidak sampai ke peringkat meneliti (nadzar) dalil-dalil hukum cabang (furu’) boleh mengikuti mana-mana Imam. Elok sekiranya seseorang itu cuba berijtihad sekadar yang beliau mampu bagi mengetahui dalil-dalilnya. Beliau juga hendaklah menerima setiap petunjuk yang disertai dengan dalil apabila beliau yakin dengan kebaikan dan kepada orang yang memberi petunjuk kepadanya. Jika sekiranya beliau terdiri dari kalangan orang yang berilmu, beliau hendaklah mencukupkan kekurangannya dari segi ilmu sehingga sampai ke peringkat meneliti dalil-dalil hukum.


8. Perbezaan dalam Feqah jangan membawa kepada perpecahan hati.

Perselisihan fiqh dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi melakukan tahqiq ilmu / penjelasan ilmiah dalam masalah-masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih saying kerana Allah SWT. Serta kerjasama dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.


9. Jauhi perdebatan Feqah yang tidak membawa kepada tindakan amali.

Setiap masalah yang tidak berdiri amal di atasnya maka melibatkan diri di dalamnya adalah membebankan diri dengan perkara yang ditegah syara’. Di antaranya ialah banyak furu’ di dalam hukum hakam yang tidak berlaku, melibatkan diri di dalam makna-makna ayat Al-Quran yang ilmu belum sampai kepadanya dan bercakap tentang kelebihan di antara sahabat R.A. dan khilaf yang berlaku di kalangan mereka. Setiap mereka mempunyai kelebihan bersahabat dengan Rasulullah SAW dan dibalas menurut niat mereka, tambahan pula takwil adalah dibenarkan.


10. Kita beriman kepada Ayat-ayat Sifat tanpa menafsir atau menolaknya.

Mengenal Allah SWT, mentauhid dan menyucikanNya adalah setinggi-tinggi aqidah Islam. Ayat-ayat sifat dan hadith-hadithnya yang sahih serta penyerupaaan yang layak denganNya, kita beriman dengannya sebagaimana ia datang tanpa takwil dan ta’thil. Kita jangan cuba mendedahkan khilaf di antara ulama’ di dalam masalah itu. Sudah cukup bagi kita apa yang telah cukup bagi Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.


11. Semua Bid’ah yang tiada asas Syarak adalah munkar yang wajib dibenteras.

Setiap bid’ah dalam agama Allah adalah tidak mempunyai asas sama sekali yang dipandang baik oleh manusia hanyalah menurut hawa nafsu mereka, sama ada dengan cara menambah atau mengurangkannya adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang paling baik sehingga tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk dari bid’ah itu sendiri.


12. Bid’ah Idafiah, Bid’ah Tarkiah, Bid’ah Iltizamiah adalah khilaf ulamak.

Bid’ah dengan cara menambah, meninggalkan dan beriltizam dengan sejenis ibadat mutlak adalah masalah khilafiyah. Setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri dan tidak mengapa mencari hakikat berdasarkan dalil dan bukti.


13. Keramat boleh berlaku pada Wali-wali Allah, namun mereka tidak boleh memberi manfaat atau mudharat kepada diri mereka, apatah lagi kepada orang lain.

Mencintai orang-orang yang saleh, menghormati dan memberi pujian terhadap amalan-amalan baik yang mereka lakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wali-wali Allah ialah mereka yang disebut oleh Allah di dalam Al-Qur'an iaitu orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Karamah yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi dengan syarat-syarat yang bertepatan dengan dengan syara’ serta mempercayai bahawa mereka adalah hamba yang diredhai oleh Allah SWT. Mereka tidak mampu untuk memberi manfaat atau mendatangkan mudharat ketika hidup atau pun setelah mereka mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurniaan yang ada pada mereka itu kepada orang lain.


14. Ziarah kubur adalah sunnah Rasulullah saw. Jangan dicampur dengan Bid’ah.

Menziarahi kubur dalam apa keadaan sekali pun adalah perkara sunat yang disyariatkan dengan cara-cara yang ma’thur. Tetapi meminta pertolongan dari ahli-ahli kubur siapa sekali pun mereka, menyeru mereka kerana perkara tersebut, menuntut mereka menunaikan segala hajat sama ada dari dekat atau jauh, bernazar kepada mereka, membangunkan binaan di atas kubur, menyelimutinya, meneranginya, mengusap-ngusapnya, bersumpah dengan sesuatu selain Allah dan seumpamanya yang terdiri daripada perkara-perkara bid’ah adalah dosa-dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak mentakwilkan amalan-amalan ini dengan tujuan menutup jalan kemungkaran.


15. Tawassul dalam berdoa adalah khilaf ulamak dan bukan dalam masalah Aqidah.

Berdoa apabila dibuat dengan cara bertawasul kepada Allah dengan salah satu makhluk-makhlukNya, merupakan perselisihan kepada masalah furu’ (cabang) di dalam kaifiat (cara-cara) berdoa, dan bukannya permasalahan aqidah.


16. Dalam mengeluarkan hukum, Syarak merujuk kepada intipati sesuatu perkara dan bukan nama yang dipakai orang ramai. Contoh “Faedah Bank”.

Uruf yang salah tidak mengubah hakikat lafaz-lafaz syariat. Malah wajib dipastikan batas-batas pengertian yang dimaksudkan dari lafaz-lafaz itu, dan tidak melewati pengertian-pengertian yang dimaksudkan itu. Begitu juga mestilah diawasi sebarang lafaz-lafaz yang sengaja dikemukakan dengan tujuan tipu helah di dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan dunia dan agama. Yang diambil kira ialah sesuatu yang dinamakan, bukan nama yang diberikan”.


17. Amal hati lebih utama dari amal anggota. Kedua-duanya penting.

Aqidah merupakan asas setiap amalan. Amalan hati lebih penting dari amalan anggota badan. Mencari kesempurnaan pada kedua-duanya adalah dituntut oleh syara’ walaupun darjat tuntutan pada kedua-duanya berbeza.


18. Islam mengangkat peranan akal manusia.

Islam membebaskan aqal. Menggalakkan supaya memerhatikan alam semesta, mengangkat kedudukan ilmu dan ulama’, mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapati maka dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.


19. Tiada pertembungan diantara Syarak dan ilmu Sains yang sahih.

Boleh jadi perkara yang diteliti oleh pandangan syara’ tidak termasuk ke dalam perkara yang diteliti oleh pandangan aqal, begitu juga sebaliknya. Sungguh pun demikian, pandangan syara’ dan pandangan aqal tidak bercanggah dalam perkara-perkara yang qath’i (muktamad dan putus). Hakikat ilmiah yang sahih tidak bertentangan dengan kaedah syara’ yang tsabit. Perkara dzanni, dari kedua-duanya ditakwilkan, agar bersesuaian dengan qath’i. Sekiranya pandangan syara’ dan pandangan aqal masih berada di peringkat dzann, maka pandangan syara’lah yang lebih utama untuk diterima. Hinggalah pandangan aqal dapat mentsabitkan kebenarannya atau ia akan gugur dengan sendirinya.


20. Kita tidak mengkafirkan orang Islam melainkan dengan syarat-syarat yang ketat.

Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kawajipan-kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika beliau:

• Mengakui kalimah kufur
• Mengengkari perkara agama yang diketahui secara dharuri
• Mendustakan ayat Al-Quran yang jelas pengertiannya.
• Menafsirkan Al-Quran dengan penafsiran yang tidak diterima oleh semua uslub Bahasa Arab dalam semua keadaan.
• Melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails